Novel ini mengandungi sebuah lagenda agung yang menyimpan sebuah rahsia yang sekian lama cuba dibuang jauh oleh para penjajah kerana gerunnya mereka jikalau Melayu bangkit membela bangsa.
1525 – Sudah hampir lima belas tahun peperangan antara Melayu dan Portugis berlanjutan tanpa ada kesudahannya. Raja Portugal telah lama memecat wizurainya di Melaka. Lantas digantikan dengan seorang wizurai baru yang sudah bersumpah sejak dari kecilnya untuk menghapuskan nama Islam dari muka dunia ini. Maka dipersiapkannya sekalian bala tentera yang maha hebat untuk menghapuskan jalur keturunan Kesultanan Melayu Melaka yang ketika itu berkerajaan di Bentan, membawa sebuah armada yang tersangat besar yang tidak pernah dilihat oleh dunia sebelum ini.
1525 – Satu tarikh yang cuba dilenyapkan dari nukilan sejarah bangsa Melayu. Pada tahun ini telah berlaku beberapa peristiwa yang tidak sesekali mahu dikenang oleh sekalian penjajah, dan juga sekalian keturunan raja-raja Melayu…