Buku ini bermatlamat merungkai persoalan agenda politik Islam dan perjuangan umat Melayu dalam konteks negara Malaysia. Apabila disebut sahaja perkataan politik, maka tergambarlah seribu satu persepsi yang menanggapinya dengan segala kekotoran, kejelikan dan keserabutan. Pendangkalan makna kuasa dan politik ini lantas menjerumus ramai politikus Islam sendiri ke dalam kancah budaya dan amalan politik Machiavelli yang menghalalkan segala cara demi menggapai cita-cita yang hakikatnya bersifat fatamorgana.
Lantaran itu, agenda perjuangan Melayu harus sentiasa berpaksikan nilai-nilai kelslaman sejati yang bersifat akomodatif, menjunjung prinsip keadilan, kesaksamaan, kesederhanaan, rasa kemanusiaan dan persaudaraan sejagat. Dengan menjunjung prinsip keadilan dan kebenaran Islam sahajalah mampu menjelmakan semangat luhur kebangsaan yang tidak mudah terjerat dalam kerangka asabiah jahiliah atau fanatik kesukuan melulu.
Terbukti sepanjang sejarah perjuangan Melayu, Islam sentiasa menjadi sumber dinamika dan days juang setiap pendukungnya. Sememangnya, orientasi Islam yang menjadi teras perjuangan memartabatkan bangsa adalah sifat unik negara ini yang perlu dicanai dan diperkasa secara berterusan.
Buku ini turut menelusuri pelbagai isu-isu semasa yang melingkari umat Melayu termasuklah aspek pemerkasaan ekonomi, bahasa, pendidikan, sosial, syariat dan syiar agama Islam. Polemik politik di kalangan umat Melayu-Islam yang ada pasang surutnya turut ditelaah dengan matlamat agar wujud kesedaran peri pentingnya dilakukan transformasi ke arah penjernihan politik demi agenda perjuangan yang lebih besar.
Akhirnya apa yang lebih penting untuk setiap warga meletakkan kepentingan Islam, bangsa dan negara lebih tinggi daripada sebarang kepentingan peribadi mahupun parti yang mampu memporak-perandakan negara. Mudah-mudahan kupasan dan perkongsian fikrah yang dihimpunkan dalam buku kecil ini dapat memberikan sedikit pencerahan terhadap pelbagai isu yang melingkari politik Islam dan Melayu.