Imran seorang ahli perniagaan yang berjaya dengan kredibiliti mengendalikan perniagaan hartanah miliknya. Dia memiliki kemewahan dan kejayaan, namun setiap yang dimilikinya itu membuatkan Imran lupa diri. Janji yang pernah dibuat ke atas kedua orang tuanya dimungkiri. Nilai kenikmatan dunia melebihi kebahagiaan hidup di akhirat kemudian hari. Ibu bapa Imran mendidiknya dengan didikan agama, malah kasih sayang yang diterima tidak pernah kurang. Mereka mempercayai setiap apa yang dilalukan oleh anaknya itu dengan harapan Imran tidak membuat perkara yang membatasi hukum agama.
Kejayaan dan kemewahan hilang setelah Imran dimasukkan ke penjara. Imran di penjarakan kerana pecah amanah. Ibu bapanya kecewa dengan sikap Imran dan tidak percaya dengan apa yang terjadi. Beberapa tahun hidup di penjara, Imran mendalami ilmu agama dan mencari kembali imannya yang sudah lama hilang dalam dirinya. Dia pulang ke kampung, mencari kemaafan namun sukar diberikan oleh ibu dan ayahnya. Ikuti kisah selanjutnya bagaimana Imran bangkit dari kesilapan yang lalu dan menebus kembali segala dosa dan janjinya kepada kedua ibu dan ayahnya.